Blogger Widgets

~Ingat kan Pada Diri~

Kita tidak boleh ubah sesuatu yang kita lihat,tetapi kita boleh ubah diri kita yang melihatnya. Jika kita tak dapat apa yang kita suka, maka langkah yang terbaik ialah sukalah apa yang kita dapat. Itulah syukur namanya!:-)

Saturday, December 5, 2009

SEUTAS TASBIH SEBUAH JANJI

CERPEN:SEUTAS TASBIH SEBUAH JANJI

AIR mata Pak Long sudah terkumpul dan tergantung di dagu. Perlahan-lahan ia memberat lalu menitis setitik demi setitik ke atas sejadah. Ada setitik dua mengena tasbih di tangan kanannya. Tangan yang sudah nampak berkedut sedikit, tetapi menegang urat-urat hijau. Aku memejamkan mataku seketika, cuba menghalau semacam keterharuan dan kesedihan. Jelas, aku tidak berjaya menghapuskan perasaan yang amat mengusik hati. Usikan itu bagaikan mendorong mataku (yang melihat Pak Long berwirid di satu sudut ruang tamu) supaya turut menitiskan air jernih seperti Pak Long. Ketika berjalan menuju ke bilikku dengan bibir terketap, aku dapat merasakan jolokan hatiku tadi benar-benar terlaksana.

Setelah menghempaskan tubuhku ke atas tilam katil dan menyembamkan mukaku di bantal, beberapa titik air jernih sudah tertitis ke bantal itu, membentuk satu bulatan besar, seolah-olah membentuk huruf 'O', kebetulan huruf pertama bagi nama Pak Long - Omar. Bahuku terenjut-enjut. Sebak dadaku bukan main. Kupejamkan mataku rapat-rapat. Dalam pejam mataku, aku dapat melihat kisah-kisah silam berputar semula seperti tayangan filem. Sungguh jelas. Mula-mula aku dapat melihat Pak Long seperti biasa menegurku dengan penuh sinis, panjang lebar pula seperti orang berkhutbah:

"Ini bukan cerita Hindustan, di mana kau boleh atasi masalah dengan menyanyi rayu atau beritahu masalah dengan hanya menyanyi tanpa berbuat apa-apa. Kau fikir cukup ke dengan air mata sebagai ubat untuk perasaan yang pilu? Ini hidup nyata, Tini. Kau mesti lakukan sesuatu dengan bijak dan realistik. Caranya tiada lain daripada belajar dan berusaha bersungguh-sungguh, kalau hendak lulus peperiksaan penggal akhir."


Berdesing telingaku pada ketika itu. Ketika aku dalam Menengah Lima dahulu. Pak Long tidak akan tahu kalau ibuku tidak memandai-mandai mengadu kepadanya. Benciku kepada Pak Long usah dikira lagi. Habis adegan itu, adegan lain menyusul di benakku. Kali ini disebabkan kenakalanku. Ibu amat marah dan kecewa. Marah kerana lidahku telah menderhaka kepada diriku sendiri. Kecewa, kerana aku tidak menunjukkan diriku sebagai wanita yang harus bersifat baik dan dihormati. Aku melihat Pak Long berkhutbah panjang lagi, tidak berhenti-henti macam kereta api ekspres dan dalam satu nafas. Kesian aku tengokkan.


Dia menukas: "Dalam hidup jangan suka berbohong. Jangan suka menipu. Berbohong dan menipu tak menguntungkan. Ini tandanya hati orang itu busuk dan jahat. Dan tidak Islamik. Juga membuat hati seseorang itu tak senang dan tenang. Tak kurang resah. Kalau hendak berhati tenteram kenalah bersikap jujur. Jujur kepada orang lain dan jujur kepada diri sendiri."


Aku membuka mataku. Berbinar-binar seketika. Apabila sudah menjadi sebati dengan keadaan dalam bilik yang diterangi lampu 40 watt, aku memusingkan badanku menghadap siling. Hidungku terasa berair juga. Aku mengesat-ngesat dengan belakang jari telunjuk. Dadaku terus sebak.


Pak Long, teguran Pak Long pada masa itu begitu pedas dan keras. Juga tajam. Dalam diam, Pak Long lebih menunjukkannya kepadaku. Pada tahap ini, aku merasakan apa yang Pak Long katakan itu sedikit pun tidak salah. Memang orang atau lebih tepat aku yang tidak jujur. Sentiasa hidup dalam ketakutan dan keresahan. Takut kerana rahsia buruk dan busuk diketahui orang. Resah kerana orang lain, lebih tepat si Jamil tidak mempercayaiku lagi. Perempuan apakah aku ini?


Pada Hassan aku kata 'cinta'. Pada Jamil pula aku kata 'sayang'. Dan akhirnya tembelangku pecah. Jamil yang amat menyayangiku terluka hatinya. Tergores, disiat-siat pedih dengan belati paling tajam. Maafkan aku, Jamil. Aku telah melaknati kasihmu. Maafkan aku juga Hassan. Astaghfirullah Al –Adzim.


Kini mataku terus memandang siling. Kali ini dalam mata terbuka, adegan lain ligat berputar di ruang mata. Aku dapat melihat Pak Long tidak habis-habis marah dan seperti berkhutbah lagi apabila dia mendapat tahu sikap ibu yang menjengkelkan hatinya. Tetapi puncanya tetap aku juga.


"Bedah, aku sangkakan kau telah berjaya membawa Tini balik ke pangkal jalan. Mengenal Allah setelah dia bertaubat dahulu," tekan Pak Long. "Memang dia telah bertaubat," tingkah ibu bersungguh-sungguh.


Pak Long menggigit-gigit bibir. Kuat-kuat. Dia memandang ibu seperti hendak makan ibu layaknya. Matanya benar-benar mencerlang garang. Merah seperti biji saga. Dahsyat. Aku tahu Pak Long bukan saja marah. Dia sebenarnya berasa pilu berbaur kesal. Pilu kerana ibu katanya hanya pandai menyediakan wang yang mencukupi untuk aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Pandai menyediakan selimut dan bantal serta pakaian tebal untuk aku tidur nanti di bilik sewa berhawa dingin di Kuala Lumpur. Kesal kerana ibu katanya lagi, sudah lupa satu perkara yang tidak boleh diambil ringan. Ibu hanya bijak mengambil berat akan kebajikanku termasuk perbelanjaan yang mencukupi serba-serbi itu. Kesian ibu dimarahi Pak Long. Ibu diam dan tidak berani menentang mata abangnya.



Sejak arwah ayah berpulang ke Rahmatullah beberapa tahun lalu itu, dialah yang banyak menolong kami. Pada tahap ini aku berasa lebih kesian kepada Pak Long. Tidak dapat dinafikan kerana daripada mata yang mencerlang garang, dia seperti kanak-kanak yang tiba-tiba kaya dengan air mata. Oh, Pak Long!


Kemudiannya aku tertanya-tanya apakah yang Pak Long kesalkan? Mengapakah ibu dimarah-marah hebat? Aku tidak kecewa kerana dari mulut Pak Long sendiri, dia menyahut pertanyaanku yang satu-satu itu. "Manalah Pak Long tak kesal, Tini," suara Pak Long bergetar panjang. Aku memandang tepat ke muka Pak Long yang air matanya sudah meleleh membasahi pipinya yang cengkung. Aku ingin benar bertanya apa yang begitu dikesalkan sampai ibu kecut apabila dimarahinya. Tetapi sebelum aku sempat berbual demikian, Pak Long yang berusia 60 tahun, lapan tahun lebih muda daripada ibu itu berkata, "Mak kau sudah lupa. Lupa menyediakan sejadah, buku Yasin dan telekung. Apa gunanya bertaubat kalau itu tidak dibekalkan untuk kau, Tini?"


Tersentak aku dibuatnya. Kecur air liurku. Terasa pahit apabila aku cuba hendak menelannya. Manalah tidak pahit kerana kata-kata Pak Long dalam dua ayat itu memang benar belaka. Aku mengutuk diriku sendiri kerana tidak terfikirkan perkara itu. Tidak terfikirkan begitu daifnya aku dan ibuku sendiri. Apakah dalam mengejarkan ilmu dunia, aku menjadi lalai? Kesian ibu. Lebih kesian kini Pak Long yang penyayang itu. Aku tahu kini perasaan Pak Long yang sebenarnya. Betapa remuk hatinya apabila kematian isteri dan anak perempuannya, Azizah. Kalau sepupuku tidak terkorban dalam nahas jalan raya bersama ibunya dulu, tentu dia sebaya denganku. Mungkin inilah agaknya Pak Long begitu mengambil berat terhadapku, seolah-olah aku adalah Azizah yang amat disayanginya. Seolah-olah akulah pengganti Azizah. Seolah-olah akulah penawar rindunya pada arwah Azizah. Seolah-olah aku adalah anaknya sendiri. Pak Long!


Bercakap tentang kesian, aku kini dibawa ke satu masa silam juga yang membuat kesianku kepadanya bercambah. Bercambah kerana Pak Long tidak habis-habis menegurku. Mulutnya seperti murai dicabut ekor, tetapi hatinya pada ketika itu tulus. Susah hendak mendapatkan orang yang baik seperti Pak Long. Aku masih ingat betapa Pak Long terbakar hatinya. Terbakar memikirkan satu lagi halku. Aku tahu kini kalau sikapku yang tamak ketika itu tidak dibetulkan, aku tentu tidak akan selamat dunia akhirat. Aku akan terus khayal dengan hal-hal keduniaan.


"Apa yang kau fikirkan tu, Tini?" Aku tidak segera menjawab. "Eh, budak ni. Mengapa Tini?" "Saya risau dan malulah Pak Long." "Risau? Malu?" "Manalah tak risau dan malu Pak Long. Saya sudah gemuk," sahutku sambil melihat diriku di cermin almari. Jelas terlantun wajahku yang berkulit cerah, berambut panjang, beralis tipis hitam pekat, berbaju agak besar dan berseluar panjang yang tidak pula menampakkan luruh punggung yang kental. Dan yang menjadi isu tubuhku yang sudah bertambah berat. Pak Long tersentak. Sampai kelu lidahnya. Agak lama baru dia menekan keras-keras, "Oh, risau dan malu. Orang-orang zaman sekarang termasuk kau sungguh menjengkelkan. Risau dan malu kerana gemuk konon. Tapi tak pula risau dan malu bila tak sembahyang. Kau nak jadi ahli neraka?"


Kini giliran aku pula tersentak. Lupa sekejap pada rasa malu dan risau kerana sudah gemuk. Terasa teguran Pak Long amat pedas. Amat tajam. Amat pedih. Dalam keadaan tersepit seperti itu, aku menjadi manusia yang tidak berani membantah. Kata-kata Pak Long yang pedas, tajam dan pedih telah terkumpul menjadi satu. Aku memang masih ingat lagi dengan jelas semua itu dan yang paling jelas ialah sesuatu yang paling tidak didugakan menimpa diri Pak Long sendiri. Ibu bagaikan tidak percaya. Mungkin tersalah orang, tekaannya.Bagaimana mungkin Pak Long yang kaya dengan tegurannya padaku suatu masa dulu boleh tersasar begitu rupa? Aku hanya menenangkan hatiku dengan mendesis: "Pak Long juga manusia biasa. Lemah dan serba kekurangan juga. Sekali manusia tersalah langkah, parah. Pada tahap ini tidak dapat disangkalkan telingkah iman dan kufur selalu terjadi setiap detik dan hari. Sekalipun dia kuat sembahyang. Bukankah iblis dan syaitan memang menunggu peluang ke atas mereka yang lalai. Tetapi bagaimana Pak Long boleh lalai?


"Betul mak. Pak Long telah cedera parah. Kepalanya dipukul dan kakinya patah sebelah kanan. Banyak kehilangan darah, tapi Tuhan masih sayangkan dia," terangku kepada ibu apabila mendapat berita daripada kenalannya di Batam. Ibu hanya kaya air mata. Tersedu-sedu menahan sebak dan kesal berbaur marah? Aku ingin mengatakan perbuatan Pak Long amat memalukan, mengecewakan dan mengesalkan. Malu kerana bukankah Pak Long sembahyang tak tinggal. Puasa setia dikerjakan. Zakat fitrah tak pernah lupa. Sedekah tak usah dikira lagi. Kecewa kerana seorang lelaki Muslim seperti Pak Long tergamak menderhaka kepada Tuhan. Kesal kerana seorang yang dihormati seperti Pak Long boleh mudah terpengaruh dengan ajakan kenalan yang jahat dan kerana seorang perempuan muda lagi jelita di Batam itu, dia habis. Imannya tergugah. Punah! Juga aku ingin menambah lagi kerana setitik madu Pak Long menjadi pelupa dan hanyut. Masya-Allah.


Tetapi aku padamkan saja keinginan itu. Tidak mahu hati ibu bertambah luka dan duka. Cukuplah. Hatinya benar-benar terguris. Tersiat maha pedih. Sekalipun Pak Long tersasar, dia tetap abang ibuku. Cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga. Tetapi apabila difikirkan masak-masak, aku menjadi tidak peduli. Kalau kepada ibu tak akan kukatakan dengan lebih lanjut, kepada Pak Long aku masih mahu menegurnya. Kalau Pak Long hendak mengecapku kurang ajar, biarkan. Kalau Pak Long hendak menuduh aku semata-mata membalas dendam ke atasnya, biarkan. Dan jika dia hendak memarahi aku kerana tidak menghormatinya lagi kerana setitik madu itu, aku lebih tidak peduli. Juga biarkan. Ya, aku tidak peduli langsung kalau Pak Long atau ibuku sendiri akan membidas aku sebagai ada jebat yang derhaka dalam jiwaku. Ataupun di dalam hatiku pula ada api yang membara. Yang penting, Pak Long mesti diingatkan. Mesti!


Dan aku pun menunggu masa yang sesuai. Menunggu sehingga Pak Long dipindahkan dari hospital di Batam ke Hospital Besar di tanah air. Pak Long tidak perlu bercerita apa-apa yang terjadi di Batam. Semua orang sudah tahu. Seorang lelaki 60 tahun telah dirompak dan dipukul hingga cedera parah selepas menjunjung piala kasih sayang dengan perempuan muda yang lebih kurang seusia dengan anak saudaranya - 25 tahun. Berdesing telinga apabila ada orang sengaja mempersendakannya dengan penuh sinis: "Orang tua tu 'bum boat'. Mana dia ada tenaga hendak lawan 'speed boat'? Nasib baik dia kena rompak, kalau kojol terus atas katil, macam mana? Kena pelukan perempuan muda, habis! Sejadah tercampak entah ke mana? Kiblat pula entah ke mana arahnya? Cakap saja bijak, tetapi satu habuk pun tak boleh pakai."


Dalam kekesalan dan kekecewaan bebaur marah, terasa kesian pula apabila aku melihat kepala Pak Long yang berbalut. Mukanya lebam-lebam dek ditumbuk. Bibirnya luka-luka ditangani perompak. Dan dengar kata perompak itu kekasih perempuan yang telah mengoyak-ngoyak iman Pak Long. Kaki kanan Pak Long tak terangkat kerana dipukul dengan sebatang kayu. Ada air jernih bergenang di mataku. Agak lama Pak Long di hospital. Apabila sudah agak sembuh, muka dan bibir Pak Long kembali asal. Cuma kaki kanannya tempang apabila berjalan.


Pada suatu pagi di rumahku (Pak Long sudah tinggal bersama kami selepas kejadian itu), aku meluahkan keinginanku yang sudah lama terpendam. Dan tidak lupa aku tambah dengan panjang lebar yang berbunyi begini: "Ingat, Pak Long akan janji Tuhan. Pak Long juga kata, kematian adalah janji Tuhan yang paling akrab dan tidak tergelincir walau sesaat pun. Dia tidak akan mungkir. Jangan tunggu sampai disembahyangkan sebelum sempat bertaubat dan bersembahyang dalam erti kata yang sebenarnya. Biarlah kita mati dalam iman."


Aku menantikan Pak Long yang bersejemput janggut di dagu itu bersuara. Suara yang akan mengecapku kurang ajar. Tuduh aku pendendam. Bidas aku apa saja. Ya Allah mulutnya yang macam mesingan dulu bagaikan kehabisan peluru. Tiada lagi api. Pak Long hanya tunduk sambil mengetap-ngetap bibir. Badannya kulihat menggeletar. Di atas sofa ruang tamu aku terus menyerang, "Pak Long bernasib baik. Wang yang dirompak boleh dicari. Iman yang menipis boleh ditebalkan dengan kembali kepada perintah Allah dengan lebih setia. Tapi nyawa Pak Long tak boleh dicari ganti bila dicabut malam itu."


Pak Long yang kurus tinggi, bermisai nipis dan berambut kerinting agak menipis dan sudah banyak putih daripada hitamnya itu kian tunduk. Ketapaannya kian kuat. Aku terus menambah, "Pak Long, saya sayangkan Pak Long. Manusia manalah yang tak buat silap. Dulu Pak Long pernah menghadiahkan saya seutas tasbih dan mahu saya berjanji supaya teguh dengan taubat saya. Saya patuh. Kini saya hadiahkan seutas tasbih juga. Ini bukan untuk balas membalas. Tidak sesekali. Saya rasa tak salah bagi orang lebih muda seperti saya mengingatkan kepada orang yang lebih tua seperti Pak Long supaya berjanji juga agar tidak kesasar lagi. Ya, berjanjilah untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah. Kerana janji Ilahi tak pernah mungkir. Orang yang beriman akan diberi ganjaran yang setimpal. Pak Long masih ingat, 'kan?"


Ya Allah bergetarnya suaraku. Mataku terasa berpasir. Ibu ada pada pagi itu. Dia tidak menegah aku. Dia tahu aku bukannya sengaja hendak mengasari Pak Long. Dia tahu aku sayangkan Pak Long. Dan Pak Long sendiri pun tahu aku amat menyayanginya. Kalau sekalipun dia bukan Pak Longku, aku akan tetap menasihatinya kerana sebagai sesama Muslim bukankah itu satu sikap yang digalakkan agama? Aku bangun berdiri lalu keluar dari bilik untuk ke dapur, hendak membuatkan teh susu panas kesukaan Pak Long. Untuk membasahi tekaknya setelah berwirid panjang nanti. Angin 9.00 malam menyerbu masuk melalui jendela yang terbuka, melenggang lenggokan langsir hijau daun. Ibu di biliknya. Berehat setelah bersolat Isyak bersamaku tadi dan makan ubat. Ibu sering sakit-sakit sejak peristiwa melibatkan Pak Long yang memalukan di Batam dahulu. Peribahasa lama itu ternyata benar dan sahih ke atas dirinya. Apabila ada orang mengejek Pak Long, dia merasa tempias sinisnya. Apabila ada orang mempersendakan Pak Long, dia merasa percikan ejekan pahit itu.


Rumah tiga bilikku di tingkat sepuluh sunyi. Tetapi aku lihat mulut Pak Long tidak pula sepi daripada terus berwirid panjang. Sepanjang rantaian biji tasbih yang kuhadiahkan kepadanya. Hadiah berulit janji yang tidak diingkarinya sejak peristiwa yang menggugat keluarga kecilku. Sebuah janji bukan untuk diriku atau dirinya sendiri, tetapi lebih kepada janjinya kepada Tuhan yang benar-benar pula tidak mungkir janji-Nya.


~terima kasih sudi baca entri cik sentuhanurani.jangan malu malu untuk tinggalkan komen anda (*_*)(")~

No comments:

~Ada yang Lebih Menarik Di Sini~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Di persilakan share ilmu di atas.Hak milik Allah semuanya. Moga Allah redha :)